Blogger news

Khamis, Februari 04, 2010

Apabila Cinta Tiada Lagi

oleh: Noraini Abd.Razak(Mingguan Malaysia 31 Jan 2010)


[gambar hiasan]

Orang kata masa bercinta semuanya indah. Bila ditanya, pasangan kekasih pantas memberi ulasan.Kata-kata melankolik dan retorik menghiasi dunia percintaan. ketika itu perkara remeh temeh tidak dihiraukan. Kalau dimarahi kerana terlewat atau terlupa,tidak mengapa. Sedikit rasa marah terubat dengan pujuk rayu.

Di awal percintaan, pasangan kekasih sanggup sehidup semati. Segala sifat buruk disimpan ra

pi. Yang ditampilkan semuanya yang baik-baik. Makan penuh beradap, tutur kata penuh tertib, penampilan pula sentiasa kemas dan kelihatan cantik atau segak.

Segala rahsia percintaan disimpan berbunga di dalam hati. Jika ada yang bertanya akan terpacul susunan ayat seperti ini. Kami serasi, saya telah bertemu pasangan hidup, dia seorang yang penyayang, penyabar dan pelbagai lagi. Tidak ada kata-kata nista semasa bercinta. Yang ada hanya kata-kata pujian dan ayat-ayat cinta yang mampu mencairkan perasaan. Masa bercinta juga sarat dengan taburan janji.

Sanggup meredah lautan api, jika si kekasih mahu menikmati secangkir kopi, biar pun hujan lebat sanggup saja dituruti . Janji diukir umpama memahat pokok getah tanpa memikirkan kesannya akan kekal di situ selagi pokoknya tidak tumbang.

Semuanya boleh dilaksanakan. Tiada yang tidak boleh, tiada yang mustahil, tiada juga halangan. Taburan janji umpama butiran pasir dipantai- tanpa disedari akan ada ombak yang datang membawa bersama pasir-pasir itu.

Boleh saja dikatakan orang bercinta umpama lupa kepada dunia realiti. Lupa, bahawa bukan semua percintaan akan berakhir di gerbang perkahwinan, dan tidak semua perkahwinan akan kekal selamanya.

[gambar hiasan]

Sebab itu apabila kasih mula menghambar dan cinta semakin pudar, ada pasangan kekasih lupa rutin semasa bercinta. segala rasasayang sekelip mata bertukar benci. Semua janji terlerai tanpa ada satu pun yang melekat dihati. Yang dulu serasi bertukar benci,kalau dulu sangat memahami kini semuanya tidak dimengerti.

Lebih memedihkan pasangan bercinta hanya sedar tentang realiti apabila putus cinta. Semua perangai buruk yang ketika bercinta boleh ditolak tepi muncul satu persatu menambah sakit hati. Keadaan itu berlaku terutamanya apabila bekas kekasih ada pasangan baru. Kalau dulu pasangan kekasih mahu berkongsi keceriaan dan keindahan dengan dunia, kini sebaliknya.

Segala sifat buruk bekas kekasih tidak lagi bertakhta di hati. Semuanya didedahkan, tanpa ada rasa bersalah dan tidak diketahui apa matlamatnya. Mungkin tidak mahu orang lain jatuh hati kepada bekas kekasih atau sebagai peringatan kepada bakal kekasih agar berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa seterusnya.

Ketika itu tidak timbul lagi soal menjaga hati. Sedangkan sepatutnya apapun yang terjadi – sama ada bahagia atau derita di penghujung kisah cinta – tidak boleh dijadikan alasan untuk berpaling tadah. Bukan juga alasan untuk memburuk-burukkan pasangan apatah lagi menerusi media yang menjadi tumpuan umum.

Hakikatnya masam dan manis percintaan mesti diterima. Mendedahkan keaiban bekas kekasih bukan kaedah terbaik untuk memadamkan kisah cinta yang sebelum itu disulam indah. Ia juga tidak akan membantu memperbaiki hubungan yang telah terputus sebaliknya menambah buruk keadaan. Jika cinta tiada lagi,maka biarkan ia berlaku pergi. Jangan diungkit segala sakit hati dan cuba mendedahkan keaiban bekas kekasih. Natijahnya tidak mustahil suatu hari nanti keburukan diri sendiri akan tersebar luas. Bercinta untuk bahagia, tetapi tidak bercinta pun belum tentu tidak bahagia. Ini kerana cinta membawa maksud yang sangat luas. Dan kebanyakan cinta tidak bertahan lama. Ada jodoh menjadi penentunya dan ada ajal yang menjadi pemisah. Justeru hakikat cinta mesti diterima. Jika kita sedia utk bercinta maka kita mesti bersiap. Bersiap untuk hanyut dalam keindahan bercinta, mengharungi segala rasa sakit hati dan membendung rasa benci.

Tiada ulasan: