Blogger news

Khamis, Julai 09, 2009

Tingkatkan Daya Tahan Tubuh Badan


Menangkis penyakit tidak semestinya harus bergantung kepada ubat-ubatan atau vitamin, tetapi terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat bertenaga. Lagipun, tubuh badan kita sudah memiliki sistem kekebalan semulajadi yang boleh menangkis penyakit daripada dalam.

Di samping memiliki kekebalan semulajadi, tubuh badan juga memiliki kemampuan membuat pertahanan setelah dihinggapi beberapa penyakit tertentu (acquired immunity). Contohnya, apabila seseorang pernah terkena cacar air, maka tubuhnya akan membentuk antibodi yang dapat menahan tubuh daripada diserang virus yang sama.

Agar sistem kekebalan tubuh dapat berfungsi dengan sempurna dan tubuh badan tidak mudah sakit, bukan hanya faktor-faktor fizikal seperti pengambilan makanan dan senaman yang perlu diambil kira, tetapi faktor psikologi juga perlu diselidiki. Ingat! Gaya hidup yang sihat menyumbang ke arah kesihatan yang maksimum. Panduan berikut boleh membantu:-

1) Bersosial
Percayakah anda bahawa individu yang mempunyai ramai kawan akan memilki kekebalan tubuh badan lebih baik berbanding mereka yang jarang bersosial. Fakta ini telah dibuktikan secara ilmiah oleh Barry Bittman, Pengarah Urusan Mind-Body Wellness Center di Meadvile, Amerika Syarikat.

2) Mendengar muzik
Kajian yang dilakukan oleh ilmuan, McGill dari Montreal University, Amerika Syarikat membuktikan jika seseorang mendengar muzik yang menggetarkan kalbu dan menyentuh perasaan, ia dapat memberi sensasi dan perasaan yang sama dengan kesan daripada pengambilan makanan dan seks. Bahkan, memainkan alat muzik dapat memberi kesan yang lebih baik daripada sekadar mendengarkannya. Syaratnya, muzik itu mestilah jenis muzik yang anda gemari.

3) Berfikiran positif
Mereka yang selalu berfikiran optimis lebih sihat berbanding mereka yang selalu berfikiran pesimis. Baru-baru ini, kajian yang dijalankan oleh Anna L. Marsland, daripada University of Pittsburg Medical Center mendapati mereka yang selalu berfikiran negatif, ‘moody’, cemas dan mudah tertekan mempunyai respon terhadap vaksin hepatitis yang lebih buruk berbanding mereka yang berfikiran positif. Selain itu, pakar-pakar di Mayo Clinic, Amerika Syarikat turut mendapati mereka yang di masa mudanya selalu berfikiran optimis mempunyai kecenderungan hidup 12 tahun lebih lama berbanding mereka yang selalu pesimis.

4) Cintai telinga anda
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh University Cornell, Amerika Syarikat mendapati, wanita yang berkerja di kawasan yang kadar kebisingannya sederhana, menghasilkan hormon adrenalin (pencetus ‘stress’) lebih banyak dan lebih kerap terkena penyakit jantung berbanding wanita yang berkerja di kawasan yang sunyi atau tenang. Suara-suara mahupun bunyi-bunyian yang tidak diingini memang boleh meningkatkan tekanan darah dan kadar kolesterol, serta menurunkan daya tahan tubuh badan. Ini kerana kebisingan memicu ketegangan dan denyut jantung sehingga menyebabkan pembuluh darah menyempit dan menggangu sistem penghadaman.

5) Makan secara sihat dan teratur
Walaupun anda sedang berusaha menurunkan berat badan, pastikan anda sentiasa memerhatikan mengambil makanan yang seimbang. Ini kerana, tubuh badan yang kekurangan nutrisi akan cenderung menghasilkan lebih banyak hormon yang mencetuskan ‘stress’. Selain itu, jika berat badan turun lebih daripada satu kilogram seminggu, akan membuatkan sistem kekebalan tubuh sukar mengenalpasti penyakit atau benda-benda asing yang masuk ke dalam tubuh badan.

6) Padamkan lampu ketika tidur
Jika selama ini anda selalu menyalakan lampu ketika sedang tidur, mungkin ada baiknya selepas ini anda padamkan lampu apabila bersedia untuk tidur. Tubuh badan yang terdedah kepada cahaya pada sepanjang malam membuatkan hormon melatonin, hormon yang mencegah penyakit tertentu menurun sehingga risiko terkena kanser payudara pun meningkat. Hormon melatonin hanya boleh dihasilkan oleh tubuh ketika suasana gelap.

7) Latih otak
Bukan hanya tubuh badan yang memerlukan latihan, otak juga perlu dilatih. Menurut ahli saraf, Marian Diamond, PhD dari University California, Berkeley, permainan yang memerlukan kemahiran berfikir boleh meningkatkan daya tahan tubuh badan seseorang wanita. Ini kerana, aktiviti mental yang menggunakan satu atau lebih kombinasi fungsi intelektual dapat membantu tubuh agar lebih tahan ‘lasak’.

8) Berehat
Jangan sesekali memaksa tubuh badan selalu berkerja keras. Meluangkan sedikit waktu untuk berehat dan meredakan ‘stress’ sangat penting untuk menjaga kesihatan. ‘Stress’ selain daripada menyebabkan rasa cemas, ia juga dapat merangsang penghasilan hormon kortisol dan adrenalin yang menurunkan kemampuan tubuh badan menolak penyakit.

9) Gerakkan tubuh
Banyak kajian membuktikan, jika senaman dilakukan secara teratur, ia dapat memperbaiki ‘mood’ meredakan ‘stress’ dan meningkatkan daya tahan tubuh. Tetapi, jika anda sedang menghadapi tekanan yang cukup berat, sebaiknya anda tidak melarikan diri dengan bersenam lebih lama atau lebih keras, ia hanya membuatkan tubuh lebih mudah jatuh sakit.

10) Tertawalah!
Menerusi kajian yang dilakukan oleh Fakulti Kedoktoran di Universiti California, Amerika Syarikat membuktikan gerakan otot perut ketika anda ketawa boleh merangsang pengasilan antibodi dan sel-sel aktif yang berguna untuk memerangi jangkitan penyakit. Ketawa juga meningkatkan peredaran darah, menurunkan tekanan darah, menghilangkan ketegangan otot dan melancarkan sistem pencernaan. Jadi, lebih banyak anda ketawa, hidup anda akan lebih riang dan sihat!

Jom Makan Oren!


Buah yang memiliki warna menarik ini selain daripada mempunyai rasa yang enak, ia ternyata mengandungi banyak khasiat yang baik bagi kesihatan dan pencegahan penyakit. Selain sangat kaya dengan vitamin dan mineral, ia juga mengandungi serat makanan yang sangat diperlukan oleh tubuh bagi pertumbuhan dan perkembangan tubuh badan yang normal. Malah, khasiat yang terkandung di dalamnya juga membantu menurunkan risiko terkena beberapa jenis penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular dan kanser.

Selain merupakan sumber vitamin C yang baik, buah yang juga mengandungi karbohidrat, postasium, folat, kalsium, thiamin, niasin, vitamin B6, fosforus, magnesium, iron, riboflavin dan asid pantotenik ini juga sangat rendah kalori. Ini bermakna, ia selamat dimakan oleh mereka yang sedang berusaha menurunkan berat badan. Sebiji oren segar bersaiz sederhana cuma mengandung 60 – 80 kcal kalori.

Walaupun oren mengandungi karbohidrat, tetapi ia merupakan karbohidrat sederhana yang terdiri daripada fruktosa, glukosa, dan sukrosa. Karbohidrat kompleksnya berupa serat makanan yang baik untuk kesihatan. Serat makanan ini akan mengikat khasiat-khasiat yang larut di dalam air sehingga dapat memperlambatkan proses pengosongan perut serta proses pencernaan dan penyerapan khasiat makanan.

Ini bermakna ia akan membuatkan perut terasa kenyang lebih lama. Dengan mengambil sebiji oren bersaiz sederhana dalam diet harian, anda memperolehi serat makanan kira-kira 30g. Jumlah ini sudah mencukupi keperluan harian tubuh badan (jumlah yang disarankan ialah sekitar 25 g sehari).

Antioksidan yang sangat baik
Vitamin C merupakan vitamin yang paling terkenal daripada buah oren. Vitamin mudah larut air ini memainkan peranan dalam proses pembentukan kolagen yang merupakan komponen dasar pembentukan jaringan saraf di dalam tubuh badan. Pembentukan kolagen yang baik sangat diperlukan untuk pembentukan ligamen, tendon, kulit, pembuluh darah, dan tulang. Ia juga membantu proses penyembuhan luka.

Vitamin C juga berperanan dalam proses penyerapan zat besi bukan organik (zat besi yang bukan berasal daripada haiwan) sehingga dapat mencegah dan membantu penyembuhan anemia. Ada juga kajian yang mendapati vitamin C dapat membantu mencegah kerosakan sel akibat aktiviti molekul radikal bebas. Radikal bebas inilah yang boleh mencetuskan pelbagai jenis penyakit.

Secara signifikan, hasil penelitian terbaru ini menunjukkan bahawa penyerapan vitamin C yang tinggi daripada makanan, termasuk buah oren dapat mencegah kenaikan LDL (lemak jahat). Kadar LDL yang tinggi merupakan faktor utama terjadinya penyakit jantung. Beberapa penelitian memang telah membuktikan terdapat hubungan di antara pengambilan vitamin C dengan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular.

Tingkat pengambilan makanan dengan kandungan folat yang tinggi, seperti oren segar atau dalam bentuk jus, akan meningkatkan kadar folat. Peningkatan kadar folat akan menurunkan kadar ‘homocystein’, yang merupakan racun bagi dinding pembuluh darah. Dengan menurunnya kadar ‘homocystein’, risiko penyakit kardiovaskular juga menurun.

Vitamin C dalam buah- buahan, termasuk oren secara ilmiah juga boleh dijelaskan peranan positifnya dalam memberikan perlindungan tubuh terhadap kanser. Oren merupakan salah satu buah yang memiliki ejen perlindungan terhadap kanser yang tinggi. Malah ia lebih bagus daripada vitamin C yang diambil dalam bentuk tablet.

Untuk memelihara kesihatan dan menjaga keperluan vitamin C dalam tubuh badan, anda disarankan supaya mengambil vitamin C sebanyak 30 – 100 mg setiap hari. Keperluan ini sudah mencukupi dengan sebiji oren bersaiz sederhana kerana ia mengandungi sekitar 70 mg vitamin C. Anda juga boleh menikmati segelas (sekitar 225 ml) jus oren pada setiap hari jika tidak mahu makan oren dengan begitu sahaja.

Kulit pun cantik
Vitamin C yang terkandung di dalam buah oren bukan hanya bermanfaat kepada kesihatan, tetapi juga untuk kecantikan kulit. Ini kerana vitamin C dikenalpasti sebagai agen antioksidan yang sangat kuat dan mampu melawan radikal bebas. Sebagai antioksidan, selain melindungi kulit dari pengaruh buruk radikal bebas, vitamin C juga memperkuatkan sel-sel kulit, sehingga ia lebih cepat memperbaiki jaringan yang rosak.