Blogger news

Rabu, Julai 01, 2009

FIRST POSITIVE CKES PERTAMA JANGKITAN VIRUS INFLUENZA A (H1N1) DIKESAN ( TM )

**info staff TM yang pertama terkena penyakit selsema babi ni..**

KES PERTAMA JANGKITAN VIRUS INFLUENZA A(H1N1) DIKESAN

Rakan-rakan sekalian

Pada 26 Jun 2009, TM telah menerima laporan bahawa seorang anggota kita yang bertugas di Menara TM telah disahkan positif jangkitan virus Influenza A(H1N1). Ini merupakan kes positif jangkitan yang pertama direkodkan di TM. Berdasarkan kronologi kejadian, beliau berkemungkinan mendapat jangkitan tersebut ekoran daripada lawatan kerja di Singapura pada 19 Jun 2009. Setelah mengalami demam selesema selama beberapa hari, beliau akhirnya disahkan positif jangkitan virus Influenza A(H1N1) pada 25 Jun 2009 dan telah menerima rawatan di Hospital Sg.Buloh.

Sehubungan itu, Syarikat telah mengaktifkan ‘Pasukan Persediaan Pandemik’ yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Modal Insan di bangunan Menara TM untuk menangani situasi ini. Antara tindakan awal yang diambil adalah menyediakan kemudahan bilik kuarantin di LG1, Menara TM dan GF, Annexe 2 sebagai langkah pengasingan sebelum dihantar ke hospital. Kerja-kerja pembersihan dan pembasmian juga sedang giat dijalankan secara berterusan di semua kawasan awam di bangunan Menara TM, Annexe 1 dan Annexe 2. Kami juga telah bersedia untuk menyediakan peralatan dan bahan yang diperlukan bagi menangani situasi bergantung kepada tahap keterukkan isu ini. Pusat Arahan juga telah diarahkan bersedia untuk diaktifkan sekiranya situasi memerlukan.

‘Pasukan Persediaan Pandemik’ akan terus memantau secara dekat perkembangan situasi dan memastikan perlaksanaan pelan tindakan tersebut berjalan lancar serta memenuhi keperluan semasa.

Saya menyeru seluruh Warga TM untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut:-

- Elakkan daripada berhubung dengan mereka yang didapati tidak sihat ataupun demam dan batuk;

- Basuh tangan anda dengan sabun secara rapi dan kerap;

- Elakkan daripada menyentuh muka anda, terutamanya hidung dan mulut, dengan tangan bagi mengelak jangkitan;

- Tutup hidung dan mulut anda ketika bersin ataupun batuk, atau gunakan topeng muka;

- Jika anda berada di kawasan yang terlibat, jauhi tempat-tempat perhimpunan orang ramai dan kawasan luar;

- Dapatkan maklumat terbaru mengenai situasi penyakit ini dan langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelak jangkitan;

- Jika anda berkunjung ke negara-negara yang terlibat, dapatkan maklumat mengenai kawasan-kawasan jangkitan dan jauhinya.

Anda juga diingatkan supaya mendapatkan rawatan perubatan daripada klinik terdekat SERTA-MERTA sekiranya anda menunjukkan tanda-tanda demam dan/atau selsema.

Sekiranya diberikan cuti sakit akibat demam dan selsema, anda digalakkan untuk berehat di rumah selama tiga (3) hari. Jika cuti sakit yang diterima kurang dari tiga (3) hari, pihak Syarikat tetap akan memberikan Pelepasan selama tiga (3) hari (termasuk cuti sakit). Begitu juga bagi anggota TM yang kembali bertugas atau bercuti dari luar negara yang dinyatakan dalam lampiran Status of Countries Reporting Cases Influenza A-H1N1, anda dikehendaki mengambil Pelepasan selama tiga (3) hari sebagai kuarantin kendiri.

Sepanjang tempoh kuarantin kendiri, anda masih dikehendaki menjalankan tugas-tugas rasmi dari rumah.

Kerjasama anda diperlukan untuk memaklumkan kepada pejabat Human Capital masing-masing dengan kadar segera sekiranya anda :

  • menjalani kuarantin kendiri atas sebab-sebab yang telah dinyatakan;
  • diarah menjalani kuarantin di rumah oleh pihak Kementerian Kesihatan; atau
  • dimasukkan ke hospital akibat jangkitan Influenza A-H1N1.

Pengurusan akan sentiasa memberikan anda perkembangan-perkembangan terbaru. Sila layari laman web di http://1intra/h1n1 sebagai pusat setempat bagi anda mencari maklumat-maklumat penting mengenai H1N1 secara umum dan juga khusus di TM. Anda juga boleh merujuk kepada lampiran, ataupun kunjungi laman web Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.my.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Encik Hider Abdul Hamid atau Encik Mohd Faizal Hashim di Unit Occupational Safety, Health & Environment (03-2240 1769 / 2240 1562).

Salam hormat

DATO’ ABDUL AZIZ ABU BAKAR

Chief Human Capital Officer

Tiada ulasan: