Blogger news

Isnin, Mei 04, 2009

INFLUENZA A (H1N1)

hari ni aku terima email dari 'Group Human Capital Management' TM tentang artikel penyakit influeza.

Ruj. Kami: GHCM/IR/1140/09 4 Mei 2009


PEKELILING SUMBER MANUSIA NO: 5 / 2009 (1 )

Wabak Influenza yang melanda dunia pada hari ini mula-mula dikesan di Mexico pada bulan April 2009 dan disebabkan oleh satu strain virus influenza yang baru. Pada 30 April 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakannya sebagai Influenza A (H1N1). Ahamdulillah, seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, buat masa ini tiada kes yang disyaki memenuhi kriteria penyakit Influenza A(H1N1) di negara kita.

Walau bagaimanapun, Pengurusan TM memandang serius perkara ini dan menyarankan kepada semua kakitangan TM agar sensitif terhadap keadaan semasa dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu. Berikut adalah maklumat-maklumat penting yang perlu diberi perhatian oleh semua kakitangan:


Apakah tanda dan gejala Influenza A(H1N1) pada manusia?
Tanda dan gejala Influenza A(H1N1) pada manusia adalah serupa dengan gejala selesema manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit-sakit badan, sakit kepala serta badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga sesetengah kes yang mengalami cirit birit dan muntah.

Apakah rawatan bagi Influenza A(H1N1)?
Kebanyakan kes Influenza A(H1N1) yang dilaporkan sebelum ini pulih sepenuhnya daripada penyakit itu tanpa memerlukan rawatan dan antiviral.

Berapakah tempoh masa jangkitan Influenza A(H1N1) daripada manusia kepada manusia yang lain?
Mereka yang dijangkiti virus Influenza A(H1N1) boleh menyebarkan penyakit ini selagi mereka mempunyai gejala penyakit dan boleh berlanjutan selama 7 hari daripada tarikh mendapat jangkitan (onset). Kanak-kanak, terutamanya yang masih kecil, berpotensi menyebarkan penyakit ini pada tempoh yang lebih panjang.

Apa yang boleh dilakukan untuk melindungi diri anda daripada sakit?
Elakkan penyebaran kuman selesema dengan mengambil langkah-langkah berikut:
Jika anda batuk atau bersin:
Tutup hidung dan mulut anda dengan tisu atau sapu tangan
Buang tisu yang telah digunakan di bakul sampah
Basuh tangan dengan sabun dan air bersih
Amalkan kebersihan diri. Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, terutamanya selepas anda batuk. Pembersih tangan berasaskan alkohol juga boleh digunakan.
Elakkan berhubung rapat dengan mereka yang sakit.
Jika anda sakit kerana selesema, duduk di rumah dan hadkan hubungan dengan orang lain bagi memastikan anda tidak menjangkiti mereka. Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut anda.
Segera dapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berdekatan sekiranya anda mengalami tanda dan gejala penyakit ini setelah pulang dari negara atau kawasan yang dijangkiti Influenza A(H1N1).

Bagi maklumat lanjut, sila ke
laman web Kementerian Kesihatan atau www.moh.gov.my atau hubungi Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03–8881 0200/0300 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan nasihat perjalanan (Travel Advisory) kepada rakyat Malaysia agar menangguh atau tidak melakukan lawatan antarabangsa keluar negara terutamanya ke negara yang sedang dilanda wabak sekiranya tidak perlu dan sekiranya keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Mereka-mereka yang baru balik dari luar negara terutama dari negara yang dikesan mempunyai kes Influenza A(H1N1) diminta untuk membuat pemeriksaan sendiri dan sekiranya menpunyai tanda-tanda demam, batuk atau tanda-tanda jangkitan salur pernafasan, mereka diminta mendapat rawatan segera dari klinik yang berdekatan.

Sekian dan salam hormat.

Tiada ulasan: